120 negara kecam tindakan ganas Israel

NEW YORK, 14 Jun – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam menerima sokongan majoriti daripada 120 negara yang menyokong resolusi Arab bagi menyalahkan Israel terhadap kematian secara kejam warga Palestin di Gaza dan menolak dakwaan Amerika Syarikat (AS) yang menuduh Hamas ke atas kekejaman yang berlaku.

Resolusi itu mengesali tindakan Israel yang ‘keterlaluan, tidak serata dan penindasan’ ke atas penduduk awam Palestin dan menyeru bagi langkah perlindungan buat warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Kira-kira 129 warga Palestin telah terbunuh akibat diserang oleh tentera Israel semasa bantahan berdekatan di sempadan Gaza yang bermula penghujung Mac dan tiada seorang pun warga Israel yang terkorban ketika insiden itu.

Resolusi yang dibentangkan oleh Algeria dan Turki bagi mewakili negara-negara Islam dan Arab, telah mendapat 120 sokongan ketika perhimpunan yang dihadiri oleh 193 ahli, manakala lapan menolak dan 45 lagi berkecuali.

Sementara itu, Duta Besar AS Nikki Haley menolak resolusi itu sebagai ‘berat sebelah’ dan menuduh negara-negara Arab cuba mendapatkan sokongan politik dengan cuba menghukum Israel di PBB.

“Melancarkan serangan ke atas Israel adalah perihal politik yang disukai mereka, atas sebab itu lah kami berada di sini,” katanya semasa perhimpunan itu.

Sementara itu, satu pindaan yang dibentangkan oleh AS untuk menyalahkan Hamas bagi tindakan menghasut keganasan’ di sepanjang sempadan Gaza telah gagal memperoleh dua pertiga majoriti yang diperlukan.

Negara-negara Arab yang menyo-kong langkah tersebut berpaling ke Perhimpunan Agung selepas AS menggunakan kuasa vetonya pada Majlis Keselamatan untuk menyekat resolusi itu pada 1 Jun yang lalu.

Berbeza dengan Majlis Keselamatan, resolusi yang digunakan semasa perhimpunan pbb adalah tidak terikat dan tiada kuasa veto digunakan. – AFP

Haley ketika berucap semasa Perhimpunan Agung PBB sebelum pengundian resolusi terhadap tindakan kejam Israel ke atas warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki. – AFP