128 kes baharu, enam lagi kluster

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Negara Brunei Darussalam, hari ini, mencatatkan sebanyak 128 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 4,163 orang.

Selain itu, terdapat enam kluster baharu telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 69.

Kluster-kluster baharu itu ialah Kluster 2629 yang mengandungi enam kes baharu, Kluster 3096 mengandungi sembilan kes baharu; Kluster 3965 mengandungi lima kes baharu; Kluster 3748 mengandungi tujuh kes baharu; Kluster 3733 yang mengandungi 10 kes baharu dan Kluster 4043 yang mengandungi tujuh kes baharu.

Kesemua kluster baharu itu juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, terdapat 25 tambahan kes baharu kepada 11 kluster aktif yang sedia ada. Kes dalam kluster-kluster aktif berkenaan adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Sementara itu, 59 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan, tambah beliau.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, pengesanan kontak bagi semua kes baharu tersebut masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RTPCR SARS-CoV-2.

Dalam pada itu, 106 kes telah disahkan sembuh pada hari ini, termasuk 32 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada 2,647 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,491 kes.

“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, 11 kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana 10 daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan. Manakala satu kes juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” kata Yang Berhormat Dato.

Sementara itu, 27 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di unit rawatan rapi bagi pemantauan rapi.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa pada hari ini, satu kes lagi telah selamat melahirkan seorang anak damit perempuan melalui pembedahan yang mana ibu dan anak adalah dalam keadaan yang baik.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,606 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 275,244 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]