128 kes baharu, tujuh lagi kluster

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Sebanyak 128 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 13,673 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini menyatakan terdapat 24 tambahan kes baharu kepada sembilan kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, terdapat tujuh kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 75 kes.

“Kesemua kluster baharu itu merupakan kluster kediaman di mana empat daripadanya iaitu Kluster Ishiwood Sdn Bhd, Kluster FFY Construction site dormitory, Kluster SCCB staff house dan Kluster C.J Soon Construction staff house yang menempatkan para pekerja syarikat berkenaan,” jelasnya.

Tiga kluster pula telah tamat setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari iaitu Kluster 7371, Kluster 7452 dan Kluster 7815, menjadikan jumlah kluster yang aktif meningkat kepada 183 kluster.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Dalam pada itu, terdapat 29 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 178 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh seramai 12,276 kes, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,303 kes,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Dalam kalangan kes yang sedang ada dalam rawatan, beliau menjelaskan enam dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, lapan kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,122 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 525,949 ujian.

Di hujung kenyataannya, beliau menyeru orang ramai untuk sama-sama dengan rendah hati memohon ke hadrat Allah SWT agar Negara Brunei Darussalam sentiasa dirahmati dan dilindungi.