13 Anjing, timbunan sampah ‘peneman’ tiga beradik

KUANTAN, 21 SEPT – Timbunan sampah, najis dan kencing daripada 13 ekor anjing serta masing-masing seekor musang, burung dan labi-labi serta ikan menjadi ‘peneman’ tiga beradik perempuan berusia 12, 10 dan 9 tahun yang menetap di bahagian atas premis perniagaan di Batu 6, Jalan Gambang di sini.

Dikenali dengan nama keluarga Luoh, tiga kanak-kanak tersebut yang dijaga oleh bapa saudara mereka sejak tiga tahun lepas juga hanya tidur di atas lantai bersama haiwan peliharaan mereka kerana ruang berkenaan tiada bilik.

Kisah sedih kehidupan mereka terbongkar selepas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Taman Tas di sini, Yeoh Kok Bin bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang meninjau tempat tinggal tiga beradik berkenaan hari ini.

Rombongan yang turut disertai wakil media itu ‘disambut’ timbunan sampah seperti pembungkus makanan, botol minuman dan barangan lusuh bermula dari tangga, selain perlu menunggu hampir 10 minit di luar rumah untuk tiga beradik tersebut mengurung anjing di dalam sangkar selain terdapat bau kurang menyenangkan sebaik sahaja pintu dibuka.

“Kakak sulung memberitahu mereka akan makan mi segera atau roti selepas pulang dari sekolah sementara menunggu bapa saudara pulang membawa makanan. Jika ada bahan di rumah, kakak yang sulung berkata dia akan memasak kerana boleh menyediakan juadah mudah,” kata Yeoh kepada wakil media.

Katanya berdasarkan cerita kakak sulung tiga beradik itu, bapa saudara mereka yang berusia awal 30an bekerja sebagai tukang kimpal di Air Putih di sini dan akan keluar awal pagi manakala ayah mereka yang berusia 35 tahun hanya pulang pada hujung minggu kerana bekerja di dalam hutan di Rompin kira-kira 136 kilometer dari sini. Ibu mereka berusia 34 tahun dikatakan bekerja sama ada di Johor atau Singapura sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan juga adik beradik berkenaan membawa pulang anjing jalanan sejak tahun lepas untuk dipelihara. – Bernama