13 daerah di Narathiwat dilanda banjir

NARATHIWAT, 1 DIS – Hujan lebat yang berterusan hampir lima hari menyebabkan 13 daerah di Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand dilanda banjir.

Gabenor Narathiwat, Ekkarat Leesen berkata ia mengakibatkan paras aras air Sungai Golok melimpah dan daerah-daerah berdekatan ditenggelami air.

“Sebanyak 86 mangsa banjir dari 21 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Tesaban 4, Sungai Kolok, Narathiwat. Daerah Rengae paling teruk terjejas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ekkarat berkata pihaknya akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan memaklumkan perkembangan semasa banjir kepada penduduk tempatan.  – Bernama