13 ditahan berjudi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Seramai 13 orang yang terdiri daripada sembilan orang lelaki dan empat orang wanita telah ditahan dalam satu operasi mengejut terhadap satu kegiatan perjudian haram, malam tadi.

Serbuan dijalankan oleh anggota Unit Detektif Ibu Pejabat Daerah Polis Belait dan Balai Polis Panaga, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ke atas sebuah rumah di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panaga, Seria sekitar pukul 8:45.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, serbuan dilakukan susulan hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan.

Kenyataan menyatakan, sudut ruang terbuka di bahagian dapur rumah berkenaan telah dijadikan tumpuan para pejudi untuk bermain permainan judi daun terup jenis ‘Sam Cheong’.

Pihak polis turut menemukan peralatan-peralatan permainan judi seperti daun terup dan wang taruhan. Kesemua suspek berserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Panaga bagi dijalankan siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

Kenyataan menekankan bahawa PPDB akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.

Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Antara bahan bukti yang ditemui semasa serbuan.