13 ditahan, dadah 19kg bernilai $3.7 juta dirampas

Gambar serahan BKN

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Biro Kawalan Narkotik (BKN) berjaya menahan 13 warga tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan merampas dadah jenis syabu berjumlah lebih 19kg yang dianggarkan bernilai $3,700,000 dalam operasi serbuan serentak ke atas tiga buah rumah berasingan di Jalan Junjongan, Kampung Limau Manis, 10 September lalu.

Operasi yang dinamakan ‘Musang King’ itu telah berjaya menahan sembilan lelaki dan empat perempuan berumur dalam lingkungan 18 ke 59 tahun kerana dipercayai mempunyai rangkaian pengedaran dan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Menurut kenyataan dari BKN, tangkapan kali ini merupakan serbuan yang menghasilkan rampasan dadah, wang dan harta benda yang terbesar pernah dicatatkan oleh BKN.

Kegiatan suspek-suspek merupakan sebuah bisnes dadah keluarga terbesar di negara ini yang sangat aktif dan merupakan pembekal terbesar dadah jenis syabu yang mempunyai jaringan pengedaran di seluruh negara.

Hasil daripada serbuan dan juga pemeriksaan di kesemua kediaman terbabit serta kenderaan suspek telah menemui beberapa kotak plastik yang berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu, dadah Kelas A melebihi 19 kilogram atau 19,000 gram yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi $3,700,000.

Dadah yang disorokkan dalam bekas yang ditemui semasa Operasi ‘Musang King’.
Lebih 19 kg dadah jenis syabu berjaya ditemui yang dianggarkan bernilai lebih $3,700,000.
Turut dijumpai 202 karton rokok pelbagai jenama.
Sejumlah wang tunai termasuk beberapa matawang asing yang dianggarkan melebihi $250,000 juga telah dirampas.
13 buah kereta turut dirampas semasa operasi serbuan.

Antara rampasan yang signifikan yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah adalah sejumlah wang tunai termasuk beberapa matawang asing yang dianggarkan melebihi $250,000, pelbagai barangan kemas berharga, barangan berjenama terdiri daripada jam tangan dan beg tangan, peralatan gim dan elektronik, perabot rumah, 13 buah kereta, dua buah bot dan sebuah motosikal.

Turut dijumpai 202 karton rokok pelbagai jenama dan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan selanjutnya.

Tangkapan tersebut masih disiasat di bawah kesalahan Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah bagi tujuan mengedar dadah kelas A yang melebihi daripada 100 gram membawa kepada hukuman gantung hingga mati.

Sementara itu suspek-suspek yang lainnya akan disiasat di bawah seksyen- seksyen berikut iaitu Seksyen 6(a) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memilik dadah terkawal; Seksyen 6(b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal; Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal; Seksyen 9 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memberikan kebenaran bagi premis yang dimiliki digunakan dalam aktiviti penyalahgunaan dadah; Seksyen 10 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27; dan Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012 iaitu atas kesalahan membersihkan wang haram yang boleh membawa denda tidak melebihi $500,000 dan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

BKN dalam kenyataan itu juga memberikan amaran kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah haram itu akan terus dijejaki dan diburu sehingga mereka tertangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Pengedar-pengedar dadah adalah musuh negara yang mesti dihapuskan kerana kegiatan mereka telah membawa kesan kerosakan kepada keharmonian kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat serta mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan ketahanan nasional.

Dengan kejayaan ini, BKN juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada agensi-agensi perisikan keselamatan dan penguatkuasaan di negara ini atas bantuan kerjasama yang diberikan ke arah menumpaskan sindiket-sindiket jenayah seperti keluarga pengedar ini.

BKN juga ingin menyeru kepada orang ramai supaya akan dapat terus berkerjasama menyalurkan maklumat yang dapat membantu pihak kerajaan dalam sama-sama membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan kesejahteraan awam dan menjejaskan keselamatan Negara Brunei Darussalam.