13 ditahan langgar PKP

KOTA KINABALU, 27 MAC – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata seramai 13 individu ditahan  di seluruh Sabah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Ops COVID-19 sehingga semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai lapan individu ditahan ketika memancing di Kudat, semalam.

“Jumlah selebihnya ditahan di Kota Kinabalu seramai tiga orang manakala Kunak dan Kinabatangan masing-masing satu tangkapan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Op COVID-19 di perairan Pulau Gaya, di sini, pagi tadi.

Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 33 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya lagi.

Beliau berkata dua individu yang ditahan sudah didakwa di mahkamah semalam.

“Tangkapan 13 orang ini nampak kecil tetapi pada saya tangkapan ini kita mesti lakukan untuk memberi kesedaran kepada yang lain supaya jangan memandang mudah arahan PKP ini. Sekarang, kita lebih ke hadapan apabila nasihat polis beri masih diingkar, tindakan untuk menangkap mereka akan dilakukan,” katanya. – Bernama