13 individu kena kompaun $100

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Seramai 13 orang individu iaitu lima warganegara Bangladesh, tujuh Indonesia dan seorang Myanmar telah dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil , Penggal 30 Bab 12 (1) (A) kerana membuang sampah dan puntung rokok di tempat awam di ibu negara, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, hari ini, 13 orang individu itu didapati melakukan kesalahan semasa pemantauan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di mana individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun dalam tempoh masa tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah yang mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000.

Manakala kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai disarankan untuk tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam.

Mereka yang hendak menghadapkan sebarang aduan dan perkongsian maklumat berkaitan boleh disalurkan terus ke nombor talian E-Darussalam: 123, e-mel: Info@123.gov.bn atau laman sesawang www.123.gov.bn atau WhatsApp ke talian 8333123.