13 maut kelab malam diserbu di Peru

LIMA, 23 OGOS – Sekurang-kurangnya 13 individu maut akibat sesak nafas atau dipijak ketika serbuan di kelab malam di ibu negara Peru itu, yang beroperasi secara haram walaupun perintah larangan berikutan COVID-19 berkuat kuasa.

Amerika Latin adalah benua paling teruk dilanda pandemik itu dan mulai bulan ini, Peru melaksanakan semula larangan ketat terhadap pergerakan rakyatnya.

Kementerian Dalam Negeri, dalam satu kenyataan, berkata jemputan ke sambutan hari jadi yang diadakan secara haram itu disebarkan menerusi media sosial dan menarik kira-kira 120 pengunjung ke Thomas Restrobar.

“Operasi polis dijalankan tanpa senjata atau gas pemedih mata tetapi pengunjung kelab malam cuba melarikan diri melalui satu jalan keluar, menyebabkan ada yang jatuh dan dipijak serta terperangkap di tangga.

“Selain 13 yang maut, enam individu termasuk tiga anggota polis cedera manakala kebanyakan pengunjung berusia dalam lingkungan 20an,” katanya.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa 23 individu ditahan dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti penganjur serta pemilik premis berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan pihak berkuasa itu dinafikan beberapa individu yang menghadiri acara itu selain mereka yang tinggal berdekatan kelab malam terbabit di daerah Los Olivos.

Seorang penduduk tempatan memberitahu stesen radio RPP bahawa polis dilihat memasuki premis itu dan melontarkan gas pemedih mata, sekali gus memerangkap pengunjung kelab.

Menteri Wanita, Rosario Sasieta, yang berang dengan kejadian itu, berkata ia tidak seharusnya berlaku ketika negara berdepan pandemik dan darurat kesihatan kerana penularan berleluasa COVID-19. -AFP

Pegawai polis berkawal berhampiran mayat di luar sebuah disko di Lima, Peru, 23 Ogos. Sejumlah 13 orang maut dalam kejadian rempuhan di kelab malam itu selepas polis menyerbunya kerana beroperasi semasa larangan pandemik. – AP