13 pelajar bakal sertai pertukaran sukan ke Jepun

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Negara Brunei Darussalam akan menghantar seramai 13 orang pelajar ke Jepun bagi mengikuti Pertukaran Sukan Badminton di bawah Program Rangkaian Pertukaran Pelajar-pelajar dan Belia Jepun – Asia Timur (JENESYS) 2018 yang bakal berjalan pada 11 hingga 18 Disember ini.

Sehubungan itu, majlis selamat belayar bagi rombongan berkenaan yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Aini Solahiah binti Haji Kassim telah diadakan di Ibu Pejabat Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, hari ini.

Program itu bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada para belia untuk mengenali Jepun yang sebenarnya, budaya, ciri-ciri ekonomi dan teknologi serta memahami keperluan perniagaan dan minatnya dengan Negara Brunei Darussalam.

Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato dalam ucapannya melahirkan harapan agar para belia yang menyertai program berkenaan akan dapat memanfaatkan pembelajaran dan pengalaman mereka di Jepun nanti dan mempromosikan hubungan antara kedua-dua buah negara agar semakin kukuh.

Tuan Yang Terutama menjelaskan, program berkenaan akan diisikan dengan pertukaran dengan beberapa buah universiti di Jepun iaitu Daito Bunka University Dai-ichi High School dan Nippon Sport Science University.

JENESYS yang merupakan program pertukaran rakyat antara Jepun dan rantau Asia Pasifik yang dilancarkan oleh kerajaan Jepun.

TYT Motohiko Kato bergambar bersama rombongan para pelajar Brunei yang menyertai Jenesys.