JALISCO, MEXICO, 15 OKT – Sekurang-kurangnya 13 anggota polis maut dalam satu serangan di Michoacan, Mexico semalam, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Keselamatan Awam persekutuan negara itu.
Pihak berkuasa tempatan berkata kesemua anggota polis terbabit sedang menuju ke pusat bandar El Aguaje untuk menyerahkan satu waran apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan membakar kenderaan mereka.
Gambar kejadian itu telah diedarkan di media sosial. Sesetengah gambar menunjukkan beberapa tanda yang didakwa berasal daripada kumpulan Jalisco New Generation Cartel, yang dilaporkan memberi amaran agar pegawai polis tidak menyokong organisasi jenayah lain.
Michoacan yang merupakan sebuah negeri di bahagian barat telah dikenali sebagai zon pertempuran antara kartel sejak bertahun-tahun. Keganasan telah memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada bulan Ogos, berlaku pembunuhan beramai-ramai di negeri itu dan polis telah menemui 19 mayat dengan sesetengahnya tergantung di jambatan. Pihak berkuasa berkata pembunuhan baru-baru ini adalah akibat daripada pertelagahan antara kumpulan kartel. – Bernama

































