13 polis terbunuh dalam serangan Daesh

KIRKUK, 5 SEPT – Sekurang-kurangnya 13 anggota polis Iraq terbunuh dalam serangan disyaki dilakukan pengganas Daesh di pusat pemeriksaan di utara negara terbabit awal hari ini, menurut sumber perubatan dan keselamatan.

Menurut pegawai kanan polis Iraq, serangan berlaku selepas lewat tengah malam di wilayah Al-Rashad iaitu kira-kira 65 kilometer di selatan bandar Kirkuk.

“Ahli pertubuhan Daesh menyasarkan pusat pemeriksaan polis persekutuan dan seramai 13 orang terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam kalangan pihak berkuasa keselamatan,” katanya yang enggan dikenali.

Sumber perubatan berpangkalan di Kirkuk mengesahkan jumlah kematian itu dan sehingga kini tiada pihak yang tampil bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Daesh merampas wilayah Iraq dalam serangan pada tahun 2014, sebelum dikalahkan oleh kempen pemberontakan disokong oleh gabungan ketenteraan pimpinan Amerika Syarikat (AS).

Kerajaan Iraq mengisytiharkan ekstremis Sunni dikalahkan pada akhir 2017, namun mereka terus beroperasi dan melakukan serangan berkala terhadap pasukan keselamatan.

Daesh kerap menyasarkan tentera Iraq dan polis di utara Iraq, namun serangan kali ini disifatkan paling ganas tahun ini. – AFP

Anggota polis persekutuan Iraq mengawal tempat pemeriksaan di jalan raya ibu negara Baghdad, di tengah langkah keselamatan ketat. – AFP