13 sertai perkhidmatan trak makanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Sebanyak 13 buah syarikat telah menyertai perkhidmatan trak makanan yang dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) untuk peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa dengan konsep pandu lalu di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan sekitarannya sepanjang bulan Ramadan, bermula hari ini.

Hadir melihat lebih dekat perkhidmatan tersebut beroperasi pada hari pertama, hari ini, ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat ketika ditemu bual menjelaskan bahawa perkhidmatan berkenaan berkonsepkan kepada pembelian secara pick up dan pandu lalu.

“Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menggunakan perkhidmatan ini yang mana lebih mudah, cepat dan selamat dan dinasihatkan kepada para pengunjung dan peniaga untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan mematuhi garis pandu yang telah disediakan oleh pihak kementerian,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah, perkhidmatan berkenaan adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk memberikan peluang kepada orang ramai membeli juadah berbuka puasa sekali gus memberi peluang kepada penjaja menjual barangan atau makanan mereka disebabkan keadaan pada masa ini memang agak sukar menjual juadah mereka kepada orang ramai.

Kelihatan barisan kereta para pembeli untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa menerusi konsep pandu lalu yang diperkenalkan bermula 1 Mei sempena Ramadan ini di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan mengetengahkan sebanyak 13 buah syarikat perkhidmatan trak makanan (food truck) yang beroperasi setiap hari dari jam 1 petang hingga 7 malam kecuali Jumaat dari pukul 2 petang hingga 7 malam. – Gambar oleh Muiz Matdani.
Salah sebuah syarikat yang menyertai perkhidmatan trak makanan di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, bermula kelmarin.
Dayang Mariam ketika ditemu bual pada hari pertama perkhidmatan trak makanan berjalan di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.

“Dengan adanya inisiatif trak makanan ini akan membantu dan tidak akan menjejaskan sumber pendapatan mereka,” tambahnya.

Beliau menyatakan bahawa KKBS berharap supaya penjaja mematuhi garis pandu dan syarat yang dikenakan dan apa yang lebih penting untuk mereka adalah menjaga kebersihan terutama tempat di mana mereka berjaja dan dari segi makanan yang mereka hidangkan.

Manakala itu, orang ramai pula disarankan untuk mematuhi garis pandu dan syarat-syarat iaitu dengan membuat penjarakan sosial semasa berjual-beli dan dapat mengekalkan konsep perniagaan secara pandu lalu.

Sehubungan itu, bagi mereka yang berhasrat untuk menyertai perniagaan menggunakan trak makanan dengan konsep pandu lalu itu boleh berhubung terus ke Jabatan Belia dan Sukan untuk pertimbangan.

Waktu beroperasi bagi perkhidmatan trak makanan dan treler berke-naan bermula pada pukul 1 petang hingga 7 malam kecuali Jumaat dari pukul 2 petang hingga 7 malam.
Beliau berkata, penjaja tidak dibenarkan untuk meninggalkan trak mereka setelah selesai waktu berjaja, pemilik trak makanan atau treler hendaklah membawa balik trak me-reka dan memastikan tapak kawasan yang digunakan dalam keadaan bersih.

Tambahnya, sebelum perkhidmatan berkenaan bermula, pemilik trak makanan dan treler diberikan taklimat mengenai peraturan dan syarat yang ditetapkan dan mana-mana pemilik yang didapati melanggar garis pandu dan syarat, mereka akan diambil tindakan oleh pihak
kementerian.

Sementara itu, Haji Mohd Badrun bin Haji Samsol, anak pemilik Syarikat HSHN, semasa ditemui di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memberi peluang berniaga dengan konsep pandu lalu.

Katanya, “Konsep perniagaan secara pandu lalu ini, memudahkan peniaga yang menggunakan trak makanan atau treler ini untuk berjaja pada bulan Ramadan ini dengan lebih teratur dan secara tidak langsung mengamalkan penjarakan sosial,” ujarnya.

Antara syarikat yang menyertai termasuk Dapur Mega Mahligai, Par Food & Beverage Sdn Bhd @ Coffee Bean and Tea Leaf, Syarikat Izzatul Zahra, Casbah London Kebab, Take Away, Khal’s Coffee dan beberapa buah syarikat lagi.