DEHRADUN, INDIA, 2 OGOS – Hujan monsun menyebabkan banjir kilat yang mengorbankan 13 orang di kaki bukit Himalaya, India, kata pegawai hari ini, dengan helikopter-helikopter menyelamatkan ratusan yang terkandas berhampiran kuil Hindu yang terkenal.
Banjir dan tanah runtuh adalah perkara biasa dan membawa kemusnahan yang meluas semasa musim tengkujuh di India, tetapi pakar berkata perubahan iklim me-ningkatkan lagi kekerapan dan keadaan yang lebih teruk.
Sebanyak 13 kematian telah dilaporkan di seluruh negeri utara Uttarakhand setakat ini, kata pegawai bencana, Vinod Kumar Suman kepada AFP.
Pegawai-pegawai daerah berkata kira-kira 700 orang diselamatkan dengan pengangkutan udara ketika dalam perjalanan ke kuil Kedarnath, destinasi jemaah popular yang didedikasikan untuk dewa Hindu, Shiva.
“Kami menerbangkan beberapa helikopter untuk menurunkan jemaah yang sedang dalam perjalanan,” kata Suman.
Kuil berkenaan terletak hampir 3,600 meter di atas paras laut dan akses hanya boleh dilakukan pada musim panas melalui perjalanan sejauh 22 kilometer yang menyukarkan.
Ia dipenuhi oleh beribu-ribu jemaah setiap tahun pada masa hujan lebat monsun tahunan mencapai kemuncak. – AFP