Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Royal Insignia telah mengadakan majlis amal berbuka puasa khusus bagi kanak-kanak istimewa di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), di Bengkurong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman.
Semasa majlis tersebut, wakil dari Royal Insignia, Dayang Norhaliza binti Maidin dalam ucapannya menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memberikan Royal Insignia peluang untuk menikmati layanan mesra di negara ini. Oleh itu, acara tersebut, jelas beliau lagi, merupakan sebagai penghargaan mereka kepada masyarakat di negara ini, terutama sekali kepada pelanggan-pelanggan mereka atas sokongan padu dan juga hubungan perniagaan yang mesra.
Majlis yang disertai seramai 130 orang kanak-kanak istimewa Pusat Ehsan itu juga diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma berupa wang tunai serta beg cenderahati daripada Royal Insignia.
Majlis yang diadakan buat kali ketiga ini merupakan acara tahunan Royal Insignia sejak ia mula diadakan pada tahun 2015.
Dalam perkembangan lainnya, Royal Insignia juga baru-baru ini telah melancarkan inisiatif bagi menyokong pemandangan reka bentuk tempatan sebagai sebahagian daripada usaha mereka. Bertepatan dengan nama ‘Brunei – Gifts to the World’, koleksi hadiah bercirikan gaya hidup mewah itu telah direka dengan kerjasama dua orang graduan tempatan Universiti Brunei Darussalam dan diilhamkan melalui budaya dan warisan Brunei yang kaya.