130 terima infak khusus

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Seramai 90 orang anak yatim dan 40 orang daripada golongan kurang berkemampuan yang terdiri daripada ibu tunggal kepada anak-anak yatim tersebut menerima infak khusus dalam Majlis ‘Biskita Dipeduli, Anak-Anak Dikasihi’ anjuran Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG), baru-baru ini.

Majlis penyampaian infak khusus tersebut berlangsung di kediaman Yang Di-Pertua BBCSG, Hajah Aminah binti Haji Momin, di Teratak Anaria, RPN Kampung Rimba, Gadong yang turut menyempurnakan penyampaian infak berkenaan. Anak-anak yatim yang menerima infak khusus tersebut terdiri daripada anak-anak mereka meninggal akibat kanser. Majlis diusahakan bersama Majlis Muslimah Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam melaksanakan tanggungjawab bagi menyemarakkan bulan Ramadan dengan program kemasyarakatan dan keagamaan serta masih mengekalkan peraturan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan. untuk menjaga penjarakan fizikal dan sosial.

Infak khusus berupa barangan makanan asasi dan sampul raya itu diberikan bagi menceriakan anak-anak yatim sekali gus meringankan beban dalam menyambut hari raya nanti.

Hajah Aminah ketika menyampaikan infak khusus kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal pada majlis tersebut.