KOTA KINABALU, 18 Julai – Seramai 130 kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang terdiri daripada pegawai penyelia dan pengurus besar di Sabah hari ini melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Majlis menandatangani dan melafazkan IBR yang diketuai Pengarah LPP Sabah Anita Misuari berkenaan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah Datuk Sazali Salbi.
Anita dalam ucapannya mengingatkan semua kakitangan agensi itu supaya terus menerapkan nilai integriti dalam perkhidmatan mereka bagi memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata, keutuhan integriti warga LPP Sabah amat diperlukan dalam memacu kecemerlangan pentadbiran LPP Sabah.
“Saya mahu warga LPP bersama-sama tekad menghindari gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan kerana ia bukanlah tanggungjawab SPRM semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Anita berkata, dengan termeterainya ikrar berkenaan, ia merupakan simbol komitmen LPP bagi mewujudkan warga kerja dan organisasi berintegriti sekali gus sebagai peneraju pentadbiran yang cekap dan memiliki kebolehpercayaan masyarakat.
Menurutnya, LPP akan berusaha memastikan kakitangan LPP di seluruh Sabah seperti di Tawau, Sandakan dan pedalaman yang tidak dapat hadir hari ini akan turut menandatangani IBR berkenaan dalam tempoh sebulan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anita berkata pengenalan polisi ‘Tiada Hadiah‘ dan Kempen 3J iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim (runding) dan Jangan Settle’ adalah sebahagian daripada usaha melahirkan kakitangan LPP yang lebih profesional dan berintegriti.
Sementara itu, Sazali berkata inisiatif LPP Sabah dalam membasmi rasuah merupakan tindakan tepat bagi mengukuhkan lagi kerjasama akrab antara SPRM Sabah dan LPP di negeri ini bagi memastikan agensi ini bebas daripada sebarang anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
“Pada hari ini LPP Sabah merupakan agensi yang ke-53 yang menandatangani IBR di negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Menurutnya, SPRM berharap lebih banyak agensi turut serta dalam memberikan sokongan dan kerjasama membantu membanteras rasuah di negeri ini. – Bernama