Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    13,000 panggilan diterima setiap hari

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Kira-kira 13,000 panggilan telah diterima setiap hari melalui Talian Darussalam 123 (TD123) dan Talian Kesihatan 148 semasa gelombang ketiga COVID-19 melanda negara pada awal Februari ini.

    Jumlah yang jauh tinggi dibandingkan semasa gelombang kedua COVID-19 pada tahun lepas, yang disebabkan persoalan dan kebimbangan yang timbul daripada orang ramai terutama kalangan mereka yang positif dan kontak-kontak terdekat.

    Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui berkata, sebelum ini TD123 hanya menerima sekitar 2,000 panggilan sehari, namun kali ini meningkat kepada 13,000 panggilan sehari dan walaupun sumber tenaga ditambah, namun masih tidak mampu untuk menampungnya.

    Dengan yang demikian, menurut beliau, bagi membantu memudahkan proses kerja supaya lebih efisien, pembaharuan yang dilaksanakan pada sistem BruHealth dalam proses pemantauan dan pemulihan pesakit-pesakit COVID-19 serta kontak terdekat akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Beliau mengongsikan perkara itu semasa sidang media bagi pengurusan pesakit-pesakit COVID-19 yang menjalani pengasingan diri di rumah, yang diadakan di Tingkat 1, Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Dr Ang Swee Hui mengongsikan mengenai panggilan yang diterima semasa gelombang ketiga COVID-19.

    Turut hadir semasa sidang media tersebut ialah Pegawai Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Martina Melati binti Dato Seri Paduka Haji Kifrawi selaku ketua Pasukan Pemantauan Pesakit (PMT); Konsultan (Kesihatan Awam) di Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong, dan Konsultan (Penyakit Berjangkit), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Riamiza Natalie binti Haji Momin.

    Dr Ang Swee Hui turut memaklumkan bahawa, Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti isu yang sering menjadi kerisauan orang ramai iaitu mengenai penghantaran makanan bagi yang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Berhubung dengan isu kelambatan penghantaran pakej penjagaan kesihatan bagi pesakit-pesakit yang menjalani pengasingan di rumah, beliau berpendapat bahawa ia mungkin disebabkan daripada laporan tidak sampai diterima melalui TD123.

    “Kami juga ada menerima panggilan melalui Talian 123 di mana pesakit menghubungi talian untuk memohon bagi penghantaran pakej penjagaan. Akan tetapi alamat di dalam datanya tidak lengkap, oleh itu ia memakan masa untuk merujuk semula alamat ke dalam sistem.

    “Kami juga mengambil maklum akan kekecewaan orang ramai terhadap panggilan yang tidak dijawap melalui TD123 ataupun 148 di mana orang ramai kemudian beralih kepada talian kecemasan 991 untuk bertanya mengenai COVID-19, yang mana ia tidak sesuai ditanya memandangkan 991 adalah bagi perkara-perkara kecemasan sahaja,” ujar beliau.

    Oleh yang demikian, Dr Ang Swee Hui menyeru orang ramai untuk hanya menghubungi talian 991 bagi perkara-perkara kecemasan sahaja supaya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kecemasan dapat menghubungi talian berkenaan.

    Selain mengenai masalah tersebut, Kementerian Kesihatan juga menerima panggilan disebabkan masalah kod warna BruHealth.

    Disebabkan pelbagai masalah yang timbul daripada orang ramai, Dr. Justin Wong menekankan bahawa sukar untuk menangani jumlah panggilan berkenaan setiap hari, dan yang demikian, pihak kementerian sedang bekerjasama rapat dengan pemaju BruHealth, sebagai usaha mengurangkan jumlah panggilan, agar mereka dapat menangani setiap panggilan yang masuk dan mengenal pasti permasalahan bagi setiap panggilan.

    “Dengan adanya pembaharuan sistem yang akan dilaksanakan pada aplikasi BruHealth dalam masa terdekat ini, proses pelaksanaannya akan menjadi lebih cepat dan efisien berbanding apa yang dialami pada ketika ini,” jelas Dr Justin Wong sambil menambah bahawa Kementerian Kesihatan masih lagi menjalankan beberapa pemeriksaan akhir terhadap BruHealth pada masa ini dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Pada sidang media tersebut juga, Dr Hajah Riamiza Natalie menjelaskan bahawa ketika ini masih ramai daripada kalangan orang ramai yang ingin mengesahkan keputusan ART mereka dengan melakukan ujian PCR.

    “Protokol kesihatan baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan ada menekankan bahawa penggunaan ujian ART adalah mencukupi untuk mengesahkan seseorang itu telah dijangkiti COVID-19 dan PCR hanya dilakukan bagi situasi tertentu sahaja,” tekannya.

    Menurut beliau, penggunaan ujian ART sudah mencukupi bagi mengesan COVID-19 pada masa ini.

    “Mereka tidak perlu lagi beratur untuk menjalani ujian PCR kerana PCR hanyalah dikhaskan bagi situasi tertentu sahaja,” katanya lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...