131 warga India selamat berlepas pulang

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 131 orang lagi warga India telah dihantar pulang menerusi penerbangan carter ke Coimbatore hari ini, yang diaturkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam dengan kerjasama Persatuan India Belait
(IAB), Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA) dan Persatuan Malayali (MA).

Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Shri Ajaneesh Kumar dan warga Suruhanjaya Tinggi India telah hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam, penerbangan khas yang dikendalikan oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) itu membawa warga India yang telah menamatkan kontrak, diberhentikan kerja dan mereka yang dalam lawatan serta kes-kes perubatan.

Ini merupakan penerbangan carter kedua yang diusahakan oleh Suruhanjaya Tinggi India untuk membawa pulang warga India yang terkandas di negara ini disebabkan tiada penerbangan berjadual beroperasi antara kedua-dua buah negara akibat pandemik COVID-19. Penerbangan pertama yang juga dikendalikan oleh RB pada 3 Julai lalu telah membawa seramai 139 orang penumpang.

TYT Shri Ajaneesh Kumar hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada warga India yang pulang ke negara asal mereka. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi India