132 lagi peserta negatif COVID-19

KUALA LUMPUR, 10 JUN – Seramai 132 peserta di bawah program ‘Road to Tokyo’ (RTT) di Pusat Latihan Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, disahkan negatif jangkitan COVID-19.

Sementara 11 daripada keseluruhan 143 atlet, jurulatih, atlet ‘rakan pelatih’, pengurus sukan, anggota sokongan, serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan di pusat latihan berkenaan, masih menunggu keputusan ujian COVID-19.

“Keputusan ujian swab bagi kumpulan atlet dan pegawai (11 orang) ini masih belum diperoleh, dan dijangka diketahui lewat petang ini.

“Sebagai makluman juga, semua atlet di Pusat Latihan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil akan memulakan latihan pada 11 Jun,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 38 peserta di Akademi Badminton Malaysia dan 24 peserta di Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi turut disahkan negatif COVID-19, selepas ujian swab kali kedua dilakukan pada 5 Jun. – Bernama

Datuk Ahmad Shapawi ketika ditemui para pengamal media di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, baru-baru ini. – Bernama