Tuesday, November 28, 2023
25.3 C
Brunei

    -

    132 pelajar terima kaca mata

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Seramai 132 pelajar persekolahan agama terdiri daripada anak-anak yatim masalah penglihatan menerima sumbangan derma kaca mata pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kaca Mata yang berlangsung di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, hari ini.

    Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan bersama oleh Pengarah Syarikat Perfect Vision Brunei, Pengiran Matusin bin Pengiran Anak Haji Abdul Rahman dan Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Shamshol bin Haji Omar.

    Pengurus Akaun Syarikat Perfect Vision, Awang Muhammad Faithul Islam bin Abu Bakar menyatakan penyampaian derma kaca mata kepada anak-anak yatim masalah penglihatan itu bersempena dengan Sambutan Hari Penglihatan Sedunia yang membawa tema, Sayangi Mata Kita di Tempat Kerja.

    Hari Penglihatan Sedunia merupakan satu acara global dengan tumpuan memberikan kesedaran serta pengajaran secara holistik mengenai masalah mata yang dihadapi dunia pada masa ini terutama masalah yang boleh mengakibatkan kerosakan mata sepenuhnya.

    Beliau menyatakan Perfect Vision Brunei amat prihatin dan memahami benar tujuan sambutan itu di mana ia telah menjadi inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka sejak 2013.

    Pengiran Matusin ketika menyampaikan sumbangan kaca mata kepada salah seorang pelajar. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara yang hadir pada majlis penyampaian berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Pada 2023, ulasnya, Perfect Vision bekerjasama dengan Jabatan Pengajian Islam untuk pemeriksaan mata komprehensif secara percuma kepada 132 orang anak yatim.

    Kesemua 132 pelajar berkenaan didapati memerlukan kaca mata untuk melihat dengan baik dan antara mereka juga didapati amat memerlukan tetapi tidak pernah memakai kaca mata sebelum ini.

    “Apa yang mengejutkan adalah hampir separuh di antara mereka mengalami masalah rabun serta silau yang sangat tinggi iaitu rabun degree sehingga 1,300 dan rabun silau sehingga 600.

    “Ini amat membimbangkan kerana dengan masalah rabun serta silau setinggi ini, penglihatan seseorang itu akan menjadi sa-ngat terhad jika tidak menggunakan kaca mata yang mungkin juga boleh mendatangkan kecederaan ke atas diri mereka,” katanya.

    Para murid yang menerima sumbangan berkenaan menyatakan penghargaan kepada pihak Perfect Vision atas sumbangan derma kaca mata yang merupakan projek amal kali kedua syarikat itu bagi murid-murid persekolahan agama negara ini.

    Terdahulu pada 26 dan 27 September, para penerima telah menjalani pemeriksaan mata secara percuma yang dikendalikan oleh syarikat berkenaan di premis kedai di Seri Kiulap Mall.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih dari 2 minggu, 41 pekerja terowong masih terperangkap

    NEW DELHI, 28 NOV - Pasukan penyelamat di India mula menggali secara manual kelmarin dengan harapan dapat mencapai 41 pekerja binaan yang terperangkap dalam...