134 kontak disahkan negatif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Seramai 134 kontak bagi dua kes yang didapati positif COVID-19 di Kuala Lumpur telah didapati negatif setelah ujian makmal virus SARS-CoV-2 dijalankan, manakala yang lain masih lagi menunggu keputusan ujian.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menjelaskan sebilangan kecil kontak bagi kes tersebut masih lagi dijejaki untuk menjalani ujian swab yang mana ia diharap akan dilakukan dalam masa sehari atau dua hari lagi. Bagaimanapun jika semua ujian didapati negatif COVID-19, punca bagi sumber jangkitan itu mungkin belum dapat dipastikan sama ada ia dari sini atau ketika mereka di luar negara, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan sebanyak 572 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 dalam tempoh 24 jam yang lalu, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 22,664 ujian.

Manakala, seramai 120 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dengan seramai 2,703 orang lagi sudah pun menamatkan tempoh kuarantin dan sekarang dalam keadaan yang baik.

Pada sidang media itu juga, Yang Berhormat Dato memaklumkan tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 141 orang, manakala jumlah kes yang telah sembuh ialah seramai 138 orang.

“Hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang sepenuhnya kepada beliau. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamin,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menyentuh mengenai aplikasi BruHealth, beliau menjelaskan bahawa setakat ini sejumlah 287,799 pengguna telah memuat turun aplikasi tersebut ke dalam telefon bimbit masing-masing dan seramai 355,402 ahli serta 6,212 syarikat dan premis sudah pun mendaftar.

“Manakala, sebanyak 1,778 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi PremiseScan yang mana kemudahan ini adalah dikhaskan bagi kegunaan orang ramai yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk masuk ke premis berkenaan,” tambah Yang Berhormat Dato.

Bagi maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.