134 pemain ITF dunia sertai kejohanan tenis

KUCHING, 7 Mac – Seramai 134 orang peserta, 76 lelaki dan 58 wanita, dari 24 buah negara akan menyertai kejohanan ITF World Tennis Tour J1, yang akan berlangsung di pusat Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di sini dari 12 hingga 17 Mac.

Pengerusi penganjur, Datuk Patrick Liew berkata para peminat sukan itu dijangka dapat menonton beberapa aksi perlawanan sengit memandangkan kesemua peserta akan berhempas-pulas untuk memungut mata ITF bagi menaikkan kedudukan ranking mereka.

“Pemain ranking teratas dalam kategori perseorangan lelaki, Holger Vitus Nodskove Rune dari Denmark, yang kini menduduki rangking ke-27 dunia juga akan hadir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan kejohanan ITF World Tennis Tour J1 kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di sini hari ini.

Kejohanan itu juga dikenali sebagai Piala Ketua Menteri Sarawak ke-33.

Terdapat 12 pemain Malaysia daripada cabutan pusingan kelayakan bagi kategori perseorangan lelaki iaitu Darrshan Suresh, Danial Ahmad Farid, Naufal Siddiq Kamaruzzaman, Christian Andre Sheng, Hayden Khoo, Cornelius Kee Hung, Mitsuke Wei Kang dan Jeo Chong Zhao. Sementara itu, bagi perseorangan wanita, terdapat empat pemain Malaysia yang terdiri daripada adik-beradik Elsa Wan dan Elysia Wan, Chloe Chong Zhi dan Sze Xuan Lim. – Bernama