135 kes baharu, satu lagi kluster

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Sebanyak 135 kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 3,464 orang.

Selain itu, terdapat satu kluster baharu dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 52 kluster.

“Kluster baharu ini mengandungi 45 kes, termasuk kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya. Kluster ini sekarang dikenali sebagai Kluster Rimba Point,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, terdapat 35 tambahan kes baharu kepada 13 kluster aktif yang sedia ada, yang mana kes-kes dalam kluster aktif berkenaan adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

“Sementara itu, 57 kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, semalam.

Menurutnya, pengesanan kontak bagi semua kes baharu itu masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

“Dalam pada itu, 263 kes telah disahkan sembuh pada hari ini. Jumlah ini termasuk 204 kes positif dalam kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh. Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 1,871 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,574 kes.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, lapan kes dalam keadaan kritikal yang mana enam daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Manakala seorang lagi kes kategori 5 telah mula menerima bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO) kelmarin, yang membawa kepada dua kes yang memerlukan bantuan mesin tambahan ECMO tersebut,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sementara itu, 27 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi bagi pemantauan rapi. Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 2,472 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 252,161 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]