135 majikan dikesan tak patuhi perintah gaji minimum

KUCHING, 8 Ogos – Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah mengesan 135 majikan yang tidak mematuhi perintah berkaitan pelaksanaan gaji minima menerusi 4,378 pemeriksaan yang dijalankan sejak Januari hingga Julai lepas.

Pengarahnya Awang Raduan Awang Omar berkata sepanjang tahun lepas pula daripada 5,581 pemeriksaan berkaitan, seramai 221 majikan didapati tidak mematuhi perintah gaji minimum itu.

Beliau berkata selain notis dikeluarkan kepada majikan terlibat untuk mengambil tindakan pembetulan, setakat Julai lepas sebanyak 68 kertas siasatan telah dibuka membabitkan siasatan mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

“Berdasarkan 68 kes itu, 42 telah selesai siasatan manakala 20 daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah, yang mana 13 telah disabitkan, tiga lagi dilepas tanpa dibebaskan, satu ditarik balik kerana syarikat ‘gulung tikar’, tiga kes lagi telah didaftar di mahkamah dan masih pada peringkat sebutan,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis perjumpaan dengan media tempatan di bilik mesyuarat jabatan itu di sini hari ini.

Awang Raduan berkata pemeriksaan tersebut turut meliputi kes-kes berkaitan pelanggaran peraturan mengikut undang-undang  perburuhan yang dikuatkuasakan mengikut Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Akta Perundingan Gaji Negara, Akta Umur Persaraan Minimum dan Akta Pampasan Pekerja.

Beliau berkata pemeriksaan akan sentiasa ditingkatkan pihaknya kerana ia adalah antara peranan utama Jabatan Tenaga Kerja iaitu melindungi kepentingan pekerja di samping memajukan masyarakat agar kebajikan mereka sentiasa dipelihara.

Sehubungan itu, beliau yang baharu berpindah dari Putrajaya ke sini pada 24 Julai lepas bagi menerajui Jabatan Tenaga Kerja Sarawak berazam untuk lebih banyak melaksanakan pemeriksaan dan langkah penguatkuasaan.

Katanya operasi khas dan pemeriksaan akan ditingkatkan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan majikan terhadap tanggungjawab mematuhi undang-undang, di samping menyedarkan pekerja mengenai kepentingan memahami hak mereka. – Bernama