136 graduan KIGS terima sijil, ijazah

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seramai 136 pelajar Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) Brunei Darussalam menerima sijil dan ijazah sarjana muda mereka pada Majlis Konvokesyen KIGS 2016 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC), kelmarin.

Berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah.

Turut menerima anugerah pada majlis itu ialah anakanda Yang Teramat Mulia iaitu Dayang Nurul Amal Hamidah Addina Athirah Muntassir, graduan dari Fakulti Perniagaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad selaku wakil Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Ketua Pegawai Eksekutif KIGS, Dr Haji Azaharaini bin Haji Mohd Jamil yang antara lain mengongsikan tema majlis konvokesyen kali ini, ‘Embracing Creativity, Innovation and Capacity Building’ memfokuskan kepada hala tuju ke arah budaya kreatif mana KIGS percaya bahawa inovasi adalah kunci kepada kejayaan organisasi khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah berkenan berangkat ke majlis konvokesyen tersebut, kelmarin.
Tetamu kehormat menyampaikan ijazah kepada Dayang Nurul Amal Hamidah Addina Athirah Muntassir.
Para graduan bergambar bersama sijil mereka.

“Budaya inovatif ini perlu sentiasa dikembangkan dan diamalkan mengikut perkembangan semasa selaras dengan perubahan teknologi dan keperluan industri,” jelasnya.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat majlis, Dr Haji Azman yang dalam ucapannya menyentuh mengenai pendidikan pengajian tinggi swasta di seluruh dunia yang telah berkembang dengan pesatnya bagi memenuhi permintaan dan sebagai laluan alternatif bagi pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada fenomena tersebut, dan menurut statistik Kementerian Pendidikan, bilangan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang berdaftar di bawah kementerian ini telah meningkat sebanyak 33 peratus di antara tahun 2009 dan 2019.

“Dalam memenuhi aspirasi wawasan negara 2035, iaitu ke arah rakyat yang berpendidikan tinggi, memang tidak dinafikan IPTS turut sama memainkan peranan yang signifikan, khususnya dalam memajukan sistem pendidikan negara dengan menyediakan perkhidmatan pendidikan dan latihan yang berkualiti serta selaras dengan keperluan semasa di abad ke-21,” kongsi Dr Haji Azman.

Selain itu, Dr Haji Azman juga menyentuh mengenai impak daripada cabaran globalisasi yang mana telah menyebabkan permintaan terhadap tenaga profesional dan berkemahiran semakin meningkat.

“Para majikan kini melihat institusi pendidikan sebagai pusat kepakaran dalam mempersiapkan pelajar-pelajar untuk menjadi tenaga kerja yang berkemahiran berpengetahuan dan ‘job-ready’,” katanya, walaubagaimanapun, setiap usaha menghasilkan graduan yang berkebolehpercayaan itu memerlukan komitmen dari pihak IPTS.

Sehubungan itu, beliau menyarankan sektor pengajian tinggi swasta mengatur strategi yang lebih berkesan dengan memberikan tumpuan dalam meningkatkan kualiti graduan.

Majlis diteruskan dengan tayangan video korporat dan juga persembahan koir, diikuti dengan penyampaian sijil kepada para graduan oleh tetamu kehormat majlis.

Dari jumlah keseluruhan graduan, seramai 23 orang graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Perniagaan, 25 orang graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Teknologi Maklumat, 10 graduan menerima anugerah Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan ‘Software Engineering with Multimedia’, 42 orang graduan menerima sijil peringkat Diploma, 29 graduan dari jurusan pensijilan Seni Lukis dan Reka Bentuk dan tujuh graduan dalam jurusan Multimedia dan Penyiaran.

Di majlis tersebut juga, telah diadakan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pengiran Setia Jaya kepada Haji Mohd Firdaus bin Haji Hanafiah, graduan Program Sarjana Muda Perniagaan dalam Pentadbiran (kepujian) di bawah Fakulti Perniagaan.

Selain itu juga, sembilan orang graduan telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti.