14 hari lagi pengasingan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan perubahan dasar pengasingan diri dengan menambah tempoh pengasingan 14 hari lagi bagi kes-kes sembuh yang dibenarkan pulang ke rumah.

Penambahan tempoh pengasingan itu dibuat setelah satu kes yang sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah, mengalami simptom-simptom COVID-19 dan setelah diuji, didapati positif serta dimasukkan semula ke Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi siasatan lanjut.

Sehubungan itu, bagi mereka yang telah disahkan sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah, Kementerian Kesihatan mengehendaki mereka menjalani pengasingan diri 14 hari lagi di rumah masing-masing dan menjalani ujian makmal bagi virus SARS-CoV-2 meng-ikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata demikian pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Ini adalah sebagai susulan rawatan yang diberikan kepada mereka yang telah berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan berkenaan. Mana-mana kes yang didapati positif semula akan dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi penyiasatan dan rawatan lanjut,” jelasnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika mengumumkan penambahan tempoh pengasingan pada sidang media di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Manakala pada sesi soal jawab, Yang Berhormat Dato menerangkan lebih lanjut bahawa pada masa ini, prosedur operasi standard (SOP) mereka adalah sebelum melepaskan seseorang itu balik ke rumah, mereka akan membuat dua kali ujian dan kedua-dua ujian itu mestilah negatif sekurang-kurangnya dalam masa 24 jam jaraknya.

“Pesakit berkenaan memang diuji negatif dua kali, oleh itu beliau dibenarkan pulang,’ katanya.
Menurutnya lagi, Brunei sama seperti China membuat tambahan isolasi tujuh hari selepas pelepasan pesakit dan mulai hari ini, ia ditambah kepada 14 hari selepas dapatan kes positif semula pesakit yang disebutkan itu.

“Kenapa ia berlaku, kami masih tidak mengetahuinya, namun terdapat laporan di China, Korea Selatan dan Jepun mengenai masalah yang sama, maka apa yang kita mahu tahu sama ada virus ini adalah sisa-sisanya (re-activation) ataupun jangkitan semula (re-infection) tetapi jangkitan semula mungkin tidak,” tambahnya.

“Dalam dunia saintifik, kami masih (cuba) memahami bagaimana virus ini berfungsi dan seperti yang kita semua fahami, ia adalah virus novel (baharu) yang kita belum berapa pasti bagaimana virus ini ‘berolah’,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Beliau selanjutnya menjelaskan disebabkan itu, mereka memantau secara dekat siapa yang dibenarkan balik dan berikutan (kejadian) ini, mereka akan melewatkan lagi pengambilan sampel melalui ‘swab’ agar mereka dapat mengesan sama ada terdapat pesakit
yang masih positif atau sebaliknya.

Selain itu, kami juga mempelajari bahawa sebahagian daripada yang dijangkiti ini tidak menghasilkan antibodi, sesuatu yang menarik untuk diketahui,” jelasnya.

Menurutnya, kenapa seseorang itu mempunyai antibodi dan orang lain tidak ada, itu pun belum mereka ketahui.

“Seperti yang saya katakan, banyak perkara yang perlu dipelajari, oleh itu, dari komiti saintifik, kami mempelajari antara sesama kami.

Kita menunggu dapatan dari China dan Korea memandangkan mereka lebih banyak pengalaman dalam hal ini, dan mengongsikan maklumat mengenainya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, memandangkan pesakit berkenaan mempunyai kontak di kediamannya, petugas kementerian terpaksa mengambil sampel mereka dan diarahkan untuk menjalankan kuarantin lagi selama 14 hari.

Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan mengenai jumlah kes pesakit yang disahkan positif masih kekal sama iaitu sebanyak 136 kes kerana pesakit berkenaan yang dimasukkan kembali merupakan pesakit yang tersenarai di dalam salah seorang daripada 136 pesakit tersebut.