14 maut hujan lebat, banjir di Chennai

NEW DELHI, 11 NOV – Sekurang-kurangnya 14 orang maut di negeri selatan India, Tamil Nadu akibat hujan lebat yang membawa banjir, kata pegawai hari ini.

Beberapa daerah di negeri itu juga dalam kewaspadaan tahap tinggi, bersiap sedia bagi lebih banyak arus ketika tekanan di Teluk Bengal di barat daya dijangka mengalir ke utara Tamil Nadu malam ini. Jabatan Meteorologi India memberi amaran hujan berintensiti tinggi di kawasan-kawasan berasingan.

Hujan lebat pertama kali melanda pada hujung minggu lalu di ibu negeri Chennai. Gambar dan video dari bandar itu menunjukkan penduduk meredah air banjir separas lutut dan kenderaan hampir ditenggelami air yang membanjiri jalan-jalan.

Dua orang mati dalam masa 24 jam, kata N Subbaiyan, pengarah pengurusan bencana negeri, menambah 12 terbunuh dalam masa beberapa hari lalu.

Manakala 800 lagi pondok musnah dalam masa beberapa minggu akibat hujan, kata Kumar Jayant dari jabatan hasil negeri.

Di Chennai, antara yang teruk terjejas, pegawai memindahkan beratus-ratus orang dari kawasan rendah, dengan pihak berkuasa menubuhkan sehingga 100 pusat bantuan serta mengagihkan makanan, menurut media. – AFP

Salah seorang penduduk meredah banjir yang melanda Chennai. – AFP