14 maut keracunan minuman keras di Rusia

MOSCOW, 8 OKT – Seramai 14 orang maut atas sebab keracunan minuman keras di Rusia, menurut pegawai dengan penyiasat melancarkan siasatan jenayah.

Lapan orang pula dimasukkan ke dalam hospital di wilayah Orengburg, sekitar 1,500 kilometer tenggara Moscow di selatan Urals.

“Setakat ini kami mengetahui 22 orang mangsa, 14 daripadanya telah meninggal dunia,” menurut pejabat gabenor melalui aplikasi pesanan Telegram.

Gabenor Denis Pasler mengatakan pihak berkuasa wilayah tersebut telah menjalankan pemeriksaan ke atas pengedar minuman keras.

Jawatankuasa penyiasatan Orenburg mengatakan pihaknya telah menjalankan lima siasatan termasuk penjualan barang yang tidak memenuhi piawaian keselamatan. Tiga orang telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kematian tersebut.

Salah seorang daripadanya – berusia 29 tahun dari bandar Orsk – disyaki menghasilkan pengganti minuman keras, menurut kenyataan penyiasat. Bengkel yang menghasilkan minuman keras tersebut juga telah dijumpai.

Minuman keras yang dibuat sendiri serta produk barang rumah yang mengandungi minuman keras dianggap terkenal di seluruh bekas Kesatuan Soviet sebagai alternatif murah daripada jenama standard, tetapi juga merupakan penyebab besar kematian akibat minuman keras. Pada tahun 2016, beberapa orang meninggal dunia di bandar Irkutsk setelah minum esen mandi yang mengandungi metanol, bahan toksik yang digunakan dalam anti-pembekuan. – AFP