14 Maut, puluhan cedera letupan bom di Filipina

JOLO, 24 OGOS – Sekurang-kurangnya 14 orang maut manakala 75 lagi cedera – termasuk anggota pasukan keselamatan dan orang awam – dalam pengeboman berkembar membabitkan pengebom nekad di pulau selatan Filipina yang merupakan kubu kuat militan hari ini, kata pegawai.

Serangan itu berlaku di Jolo, pulau majoriti Muslim di Sulu di mana pasukan keselamatan disokong kerajaan sudah lama memerangi kumpulan militan Abu Sayyaf.

Tujuh orang askar, seorang pegawai polis dan enam orang awam terbunuh dalam dua pengeboman, yang pertama sekitar tengah hari apabila bahan peledak improvisasi di atas motosikal diletakkan di luar sebuah pasar raya meledak, menurut Leftenan Jeneral Corleto Vinluan.

Ia disusuli letupan kedua dalam masa beberapa minit di jalan sama apabila pengebom nekad meledakkan dirinya ketika pasukan keselamatan menutup kawasan itu, kata Vinluan.

“Tentera kami sedang menjalankan operasi keselamatan ketika bom improvisasi di atas sebuah motosikal di luar sebuah kedai runcit dikunjungi ramai orang dan tentera, meletup,” kata Leftenan Kolonel Ronaldo Mateo.

Sejurus kemudian, seorang askar cuba menangkap pengebom nekad, merupakan wanita yang meninggalkan motosikal itu. Pengebom itu bagaimanapun meledakkan dirinya, kata Mateo.

Sejumlah 48 orang awam 21 orang askar dan enam orang anggota polis juga cedera.

Abu Sayyaf ‘kemungkinan besar’ dalang pengeboman berkembar itu, kata Mateo. – AFP

Askar mengusung rakan yang cedera ketika sebutir bom improvisasi meletup berhampiran sebuah kenderaan tentera di bandar Jolo, pulau Sulu, 24 Ogos. Sekurang-kurangnya 14 maut manakala puluhan lagi cedera dalam pengeboman berkembar di kawasan kubu kuat militan itu. – AFP