BEIJING, 4 JAN – Satu kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di barat daya Guizhou, China meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa, media kerajaan melaporkan hari ini.
Pekerja sedang mengukuhkan bahagian sisi bukit ketika tanah runtuh berlaku pada malam kelmarin, lapor agensi berita rasmi, Xinhua.
Penyelamat menemui 14 mayat dan juga tiga yang cedera, dengan punca kemalangan ‘masih lagi disiasat.’ Kerja-kerja menyelamat juga sudah selesai dan tiga yang cedera dalam keadaan stabil, lapor Xinhua.
Gambar-gambar disiarkan oleh media kerajaan menunjukkan pasukan penyelamat bekerja semalaman di bawah limpahan lampu, dengan serpihan besar serta mesin pengorek kelihatan.
Kemalangan binaan dan industri adalah biasa di China kerana kurangnya standard keselamatan. – AFP