CHALCHUAPA, 21 MEI – Pakar forensik semalam mengeluarkan sekurang-kurangnya 14 mayat yang dibunuh dan ditanam di kediaman seorang bekas pegawai polis di barat El Salvador barat.
Menteri Keadilan dan Keselamatan, Gustavo Villatoro, berkata kesemua mayat ditanam secara berasingan di kediaman Hugo Ernesto Osorio Chavez, yang juga ketua kumpulan penjenayah.
Bekas pegawai polis itu ditahan pada 8 Mei lalu kerana disyaki sebagai suspek utama kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya, selepas jiran melaporkan kepada pihak berkuasa.
Hasil siasatan itu membawa kepada penemuan mayat di rumahnya.
Villatoro berkata bahawa sampel asid deoksiribonukleik (DNA) turut diambil daripada penduduk sekitarnya yang melaporkan kehilangan keluarga terdekat dan berkemungkinan menjadi mangsa kes pembunuhan berkenaan. Rumah penjenayah itu, yang berdepan dengan ladang tebu, dikepung oleh polis bagi mengelakkan wartawan memasuki kawasan berkenaan.
Pakar jenayah forensik, Israel Ticas, memberitahu AFP proses menggali di sekitar kawasan kediaman suspek akan diteruskan di bahagian lain rumah berkenaan dan menganggarkan tugas itu mungkin mengambil masa lebih sebulan. – AFP



































