14 mualaf lelaki terima sijil tamat kursus

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Skim Bimbingan Asas bagi mualaf lelaki siri ke-191 Daerah Brunei dan Muara berakhir hari ini dengan majlis penutup dan penyampaian sijil bertempat di Dewan Mau’izzah, Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

Seramai 14 orang peserta telah berjaya menamatkan kursus berkenaan yang bermula pada 14 Januari lalu sehingga hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI, Dayangku Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin.

Semasa memberikan ucapan pada majlis penutup tersebut, Dayangku Hajah Ida Fariani antara lain menggesa agar para peserta terus mengamalkan dan mempraktikkan segala ilmu yang telah diperolehi daripada kursus berkenaan ke dalam kehidupan sehari-hari.

Kursus Skim Bimbingan Asas bagi Mualaf merupakan rancangan PDI yang diungkayahkan melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah-daerah, Bahagian Pengembangan Dakwah yang telah diadakan serentak di keempat-empat daerah.

Sementara itu, PDI juga turut menyediakan beberapa kursus untuk meningkatkan pengetahuan agama bagi golongan mualaf di negara ini, manakala borang penyertaan boleh didapati di PDI atau di unit dakwah daerah masing-masing.

Para peserta Skim Bimbingan Asas bagi mualaf lelaki bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis selepas menerima sijil kursus.