Oleh Efwad Rashyad
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Seramai 14 peserta khatam yang terdiri daripada jemaah Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri telah diraikan dalam majlis khatam Al-Quran di masjid berkenaan, baru-baru ini.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim dari Surah Ad-Dhuhaa hingga Surah An-Nas beramai-ramai yang dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Awang Abdul Salam bin Salim. Acara kemudiannya diikuti dengan bacaan Tahtim dan Doa Khatam.
Menurut Awang Abdul Salam semasa majlis tersebut, membaca Al-Quran adalah sangat digalakkan kepada semua umat Islam, malah ia mempunyai kelebihan yang bermanfaat kepada pembaca seperti ganjaran pahala yang sangat istimewa di dunia dan di akhirat seperti yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.

“Kelebihan yang diberikan itu sepatutnya direbut oleh setiap individu Muslim. Inilah saatnya untuk kita merebut peluang bagi memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana doa yang dipanjatkan dalam majlis khatam Al-Quran memiliki keberkatan dan sangat mustajab. Malah para Malaikat juga akan turut mengaminkan doa kita,” jelasnya lagi.
Beliau juga melahirkan rasa gembira atas usaha berterusan untuk sama-sama mengimarahkan masjid yang sudah tentu akan memberikan keberkatan bagi setiap jemaah.
“Kita juga membina hubungan kemesraan dan kemakmuran di rumah Allah ini. Kita yakin lebih ramai jemaah akan sama-sama menyertai membaca Al-Quran ini,” tambahnya.