14 sertai program latihan untuk pelatih

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Seramai 14 orang peserta dari organisasi-organisasi latihan berdaftar menyertai program latihan untuk pelatih yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini dengan majlis pembukaan di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Lambak Kanan.

Program latihan itu diadakan oleh Pusat Serantau Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bagi Pendidikan Vokasional dan Teknikal (VOCTECH) dengan kerjasama Rangkaian Kolej Terbuka (NOCN) United Kingdom (UK) menerusi NISSAI-PTB Brunei.

Pengurus Latihan dan Profesional selaku Pakar Pendidikan Guru di SEAMEO VOCTECH, Dayang Noorhayati Cynthia binti Abdullah yang juga menjadi penyelaras dan pemudah cara kursus berkenaan telah menekankan mengenai keperluan bagi pelatih mendapatkan kemahiran pelatih dengan menyertai kursus Training of Trainers.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, latihan berkenaan bertujuan untuk meningkatkan keupayaan para peserta dalam penyampaian latihan mereka menggunakan kemahiran dan teknik pembentangan yang efektif.

Secara khusus, kursus mengajar para peserta mengenai kaitan kecekapan dalam pembelajaran berasaskan kecekapan, apa maksud latihan dan peranan pelatih, pelbagai teori dan gaya pembelajaran serta prinsip pembelajaran dewasa, bersedia, melaksana dan menilai latihan serta menyediakan dan menyampaikan hasil latihan.

Pengarah SEAMEO VOCTECH, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapan alu-aluannya telah menggalakkan penyertaan aktif dan komitmen para peserta sepanjang program berkenaan.

Beliau juga menekankan mengenai kepentingan menamatkan program latihan tersebut dengan jayanya dan peserta yang lulus penilaian pemantauan selepas latihan akan menerima sijil yang diendors NOCN.

Dr Haji Mohd Zamri bergambar ramai bersama peserta latihan semasa majlis pembukaan di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Lambak Kanan. – Gambar serahan SEAMEO VOCTECH