14 startup bentang idea perniagaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Program bootcamp Darussalam Enterprise (DARe), Accelerate telah mencapai kemuncaknya dengan Pitch Day yang diadakan secara maya, kelmarin.

Sebanyak 14 buah syarikat permulaan (startup) yang datang daripada pelbagai industri termasuk ICT, perkhidmatan serta kesihatan dan kecergasan, telah membentangkan perniagaan mereka.

Semasa sesi pembentangan itu, syarikat-syarikat membentangkan idea perniagaan masing-masing di hadapan panel hakim yang merangkumi Pengurus Portfolio Golden Equator Consulting, Jean Yeow; pengasas dan Rakan Kongsi Shazali & Partners, Shazali Sulaiman dan Pengarah Urusan Mindtrex Academy, Pengiran Khairi bin Pengiran Metussin.

Acara Pitch Day itu menandakan berakhirnya Program Accelerate Bootcamp di mana ia memberikan peluang kepada perniagaan untuk mendapatkan pilihan sumber pembiayaan yang lain seperti Angel Investment dan Venture Capital, selain daripada pinjaman tradisional.

Selain daripada memperoleh kemahiran pembentangan, para peserta juga memperoleh ilmu pengetahuan daripada pakar-pakar mengenai pembangunan produk penjanaan pelan perniagaan, mendapatkan pembiayaan serta bagaimana untuk membuat jualan di dalam negara dan serantau.

Para peserta yang mengikuti sesi pembentangan secara maya berkenaan. – Gambar serahan DARe

Menurut DARe, tiga pemenang pada Pitch Day yang akan berpeluang untuk membentangkan idea perniagaan masin-masing kepada rakan-rakan serantau ialah Rumine Corporation (@ruminecorp), Xpress Enterprise (@cucixpress) dan Thryffy (@thryffyofficial).

Rumine Corporation merupakan sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Brunei yang membolehkan mana-mana perniagaan atau industri untuk menjana Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR) dan permainan aplikasi mereka yang tersendiri.

Dengan menjadikan AR dan VR mampu untuk dimiliki dan sesuai bagi perniagaan, mereka telah membangunkan platform yang dapat memperkasa sesiapa sahaja untuk
memasukkan industri mereka dengan penyelesaian teknologi inovatif.

Syarikat itu berusaha untuk memajukan pengalaman komunikasi, membolehkan transformasi digital dan mentakrifkan semula interaksi manusia. Pengalaman mereka dalam strategi digital dan kandungan dalam pelbagai bidang membolehkan mereka untuk menyokong pembangunan penuh produk-produk AR atau VR daripada konsep hingga penyampaian.

Sementara itu, Xpress Enterprise mempunyai visi untuk merubah perkhidmatan konvensional kepada perkhidmatan ekspres di Brunei menggunakan teknologi yang sedia ada di pasaran global.

Sehubungan itu, langkah pertama mereka ke arah visi itu, adalah untuk menyediakan perkhidmatan mencuci kereta automatik ekspres yang pertama di Brunei dengan cawa-ngan pertama mereka terletak di Kuala Belait.

Manakala itu, Thryffy ialah sebuah pasaran fesyen terpakai rakan sebaya di Brunei dan Malaysia yang memenuhi permintaan komuniti fesyen untuk menemui kreativiti dan stail yang berusaha ke arah perubahan yang mampan. Oleh itu, mereka boleh menggambar barangan dalam almari mereka, menayangkannya serta menjual barangan stail mereka kepada orang lain.

DARe menyatakan bahawa kitaran ke-7 Accelerate telah dikendalikan sepenuhnya dalam format maya, disebabkan sekatan susulan gelombang COVID-19 yang melanda negara baru-baru ini.

Ia merupakan sebuah program pembangunan syarikat permulaan selama 100 hari yang membantu perniagaan peringkat awal untuk berkembang dengan memanfaatkan teknologi, mendapatkan pelaburan serta membangunkan model-model perniagaan yang inovatif.