Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Seramai 14 orang pelajar Politeknik Brunei (PB) menerima Anugerah Duta China semasa Majlis Konvokesyen PB ke-8 tahun 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
Anugerah Duta China merupakan program yang diadakan secara bersepadu di antara Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam di mana para peserta adalah terdiri daripada pelajar dari lima institusi pendidikan di negara ini termasuk PB.
Syarikat-syarikat negara China telah bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan untuk melatih belia-belia tempatan yang bukan sahaja berbakat, malahan berminat dengan kebudayaan, pembangunan ekonomi dan teknologi China bagi memenuhi kehendak kemajuan kepelbagaian ekonomi.
Justeru itu, Anugerah Duta China diperkenalkan untuk mendorong lebih ramai lagi pelajar-pelajar tempatan bagi melibatkan diri, terutama dalam kerjasama dua hala, iaitu di bawah rangka kerja Inisiatif Jalur dan Jalan.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menyuntik semangat inspirasi belia berbakat yang memiliki prestasi cemerlang, agar sentiasa bergiat aktif menyumbang dalam pembangunan negara, serta mempromosikan kerjasama yang praktikal antara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.