140 pelajar hadiri taklimat kenegaraan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan terus mengadakan Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, hari ini, yang berlangsung di Sekolah Menengah Lambak Kiri.

Taklimat yang dihadiri oleh tenaga pengajar dan 140 penuntut Tahun 7 itu berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan.

Program taklimat berkenaan antara lain bertujuan untuk mengukuhkan semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui lagu kebangsaan dan bendera negara.

Di samping itu, program merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Kenegaraan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.

Dalam taklimat tersebut, beliau antara lain menyentuh mengenai raja, tatacara menaik kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Penuntut sekolah berkenaan turut menyaksikan tayangan klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.

Penuntut juga berpeluang menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab kuiz tersebut.

Para penuntut Tahun 7 Sekolah Menengah Lambak Kiri ketika menghadiri taklimat kenegaraan.