1,400 dolfin dibunuh sehari di Faroe Island

COPENHAGEN, 15 SEPT – Kerajaan Faroe Islands, wilayah autonomi Denmark, berdepan bantahan semalam berhubung pembunuhan lebih daripada 1,400 dolfin putih dalam sehari dalam apa yang dikatakan merupakan pemburuan terbesar di utara gugusan kepulauan itu.

“Tidak diragui lagi pemburuan ikan paus Faroe merupakan satu pemandangan dramatik untuk mereka yang tidak biasa dengan pemburuan dan pembunuhan haiwan mamalia itu,” beritahu jurucakap kerajaan kepada AFP.

“Namun pemburuan adalah terkawal dan dianjur dengan baik,” katanya. Secara tradisi, pulau Atlantik Utara itu, yang mempunyai kira-kira 50,000 penduduk, memburu ikan paus dan bukan dolfin, kata jurucakap.

“Biasanya terdapat segelintir orang yang menjalankan aktiviti itu, tetapi kami jarang membunuh dalam jumlah yang begitu besar,” kata wartawan televisyen tempatan, Hallur av Rana.

‘Grindadrap’ merupakan satu amalan di mana pemburu mula-mula sekali mengepung ikan paus dengan bot perikanan dan seterusnya mendorong mereka ke sebuah teluk untuk dibunuh.

Gambar menunjukkan bangkai lebih 1,000 dolfin Atlantik putih di pantai mencetuskan bantahan d media sosial.

“Ia nampak ekstrem dan ia mengambil masa seketika untuk membunuh kesemuanya,” kata av Rana.

Sea Shepherd, badan kebajikan yang menentang pemburuan ikan paus dan dolfin, menyifatkan kegiatan itu sebagai ‘amalan kejam.’ – AFP

Gambar serahan Sea Shepherd menunjukkan bangkai dolfin yang terdampar di pantai selepas dikeluarkan dari perairan pulau Eysturoy pada 12 September. – AP