Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – seramai 141 orang pelatih rekrut Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), pengambilan Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2021, telah diraikan dalam majlis khatam Al-Quran yang merupakan salah satu acara yang diselitkan dalam program upacara sebelum perbarisan tamat latihan.
Majlis yang diungkayahkan oleh Pusat Latihan Polis (PLP) itu berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan datin, para pengarah dan timbalan pengarah, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, pegawai-pegawai kanan serta ahli-ahli keluarga para pelatih rekrut yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran.
Kemudian, ia diteruskan dengan bacaan takhtim Al-Quran dan diakhiri dengan bacaan Doa Khatam dan Doa Selamat.
Seterusnya, tetamu kehormat memulakan acara menabur bunga rampai dan disusuli oleh jemputan serta ahli keluarga pelatih.
Para pelatih rekrut skuad 1/2021 berkenaan akan menamatkan latihan kepolisan dengan upacara perbarisan tamat latihan pada 25 Ogos di Padang Kawad Besar PLP.