141 warga India terkandas dihantar pulang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 141 orang penumpang termasuk dua anak damit warganegara India yang terkandas di negara ini dihantar pulang dengan menaiki penerbangan khas yang dikendalikan oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei ke Coimbatore, India, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, penerbangan khas berkenaan merupakan penerbangan ke-14 dari Negara Brunei Darussalam ke Coimbatore, India dan mula beroperasi kembali setelah jurang selama enam bulan.

Kenyataan menjelaskan lanjut bahawa penerbangan khas berkenaan telah digantung disebabkan penangguhan aktiviti rentas sempadan bagi lima buah negara subbenua India termasuk Republik India.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi India turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk membantu melancarkan proses pelepasan para penumpang.

Sejak Julai 2020, seramai 1,948 orang penumpang telah dihantar pulang oleh Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam menerusi penerbangan khas.

Dua orang kanak-kanak ini adalah antara warga India yang menaiki penerbangan khas ke Coimbatore, India, kelmarin. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam