Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Seramai 143 orang lagi warga India termasuk lima orang anak damit telah dihantar balik menerusi penerbangan carter ke-16, hari ini.
Penerbangan yang dikendalikan oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) itu telah berlepas petang tadi ke Coimbatore, Tamil Nadu, India.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar dan beberapa orang pegawai Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas untuk mengucapkan selamat berlepas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam, sejak Julai 2020, seramai 2,230 warga India yang terkandas di negara ini telah dihantar pulang oleh Suruhanjaya Tinggi India melalui penerbangan tersebut.