143,000 pelajar Malaysia mula ke sekolah

KUALA PILAH, 4 OKT – Seramai 143,000 pelajar di sekolah seluruh negara, kecuali Kedah dan Johor, memulakan sesi persekolahan secara bersemuka setakat semalam dan hari ini, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan COVID-19.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu seramai 94,000 pelajar dari negeri Kumpulan B –  Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan – memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Bakinya melibatkan pelajar dari negeri Kumpulan A melibatkan Terengganu, Kelantan dan Langkawi semalam.

“Secara keseluruhannya, tatacara pelaksanaaan pembukaan sekolah dan juga kehadiran murid untuk sesi pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka berjalan lancar dan perkara ditetapkan dalam garis panduan pengoperasian pembukaan sekolah dipatuhi dengan baik.

“Hampir semua negeri buka sekolah kecuali Kedah dan Johor, pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) ialah membawa murid kembali ke sekolah, kita mahu sistem pendidikan kembali bergerak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di sini hari ini. – Bernama

Seorang guru memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka dengan para pelajar yang hadir pada sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah, hari ini.