144 buah kerusi roda disumbangkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Persatuan Perniagaan Taiwan di Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Graduan Taiwan Brunei Darussalam telah melancarkan kempen kebajikan dengan menyumbangkan sebanyak 144 buah kerusi roda kepada hospital-hospital dan organisasi kebajikan di negara ini.

Sehubungan itu, sebagai langkah pertama dalam kempen kebajikan berkenaan, sebanyak 40 buah kerusi roda disumbangkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sumbangan kerusi roda berkenaan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat 1 selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari.

Hadir untuk menyampaikan sumbangan berkenaan ialah wakil dari Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan, Andrew H.C.Lee dan pengerusi-pengerusi persatuan iaitu Richard Chuang dan Albert Chin.

Sumbangan itu merupakan sebagai usaha berterusan persatuan-persatuan dan pejabat berkenaan untuk bekerjasama membantu masyarakat yang memerlukan menerusi kegiatan-kegiatan yang berkebajikan bagi meringankan bebanan golongan berkenaan.

Ia juga amat bertepatan dalam bulan penuh keberkatan, bulan Ramadan dan kerusi roda yang disumbangkan itu, setentunya akan membantu mereka yang menjalani terapi, ujian dan pemeriksaan untuk bergerak dengan lebih mudah.

Usaha bersepadu semua pihak yang berkenaan dalam menghulurkan sumbangan itu menunjukkan semangat persahabatan serta tanggungjawab sosial korporat untuk sama-sama tampil ke hadapan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Haji Abdul Khalid As’ari (tiga, kiri) menerima sumbangan kerusi roda yang disampaikan oleh Andrew Lee (tengah).