145 hadiri taklimat kesihatan mental

BANDAR SERI BEGAWAN,12 JULAI – Seramai 145 orang guru dan kakitangan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) telah mendengarkan taklimat kesedaran kesihatan mental yang diadakan di teater kuliah maktab berkenaan, baru-baru ini.

Dikendalikan oleh wakil Unit Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan Kementerian Kesihatan, taklimat diadakan sebagai sebahagian daripada program pembangunan profesional bagi guru-guru dan kakitangan maktab.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, taklimat itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan menanamkan pemahaman lebih mendalam mengenai kesihatan mental dan penyakit mental seperti tekanan, depresi dan kebimbangan serta untuk mempromosikan amalan kesihatan mental baik dalam kalangan kakitangan.

Pegawai Perubatan Pusat Promosi Kesihatan, Dr Norzawani binti Ishak dalam taklimatnya telah memberikan gambaran mengenai kesihatan dan penyakit mental di samping menggariskan simptom paling biasa berkaitan masalah mental dan kesannya terhadap individu yang mengalaminya.

Beliau menyatakan bahawa pencegahan bermula dengan menyedari dan memahami tanda-tanda dan simptom awal penyakit mental. Selain itu, beliau juga menekankan mengenai kepentingan mendapatkan bantuan profesional jika individu memerlukannya.

Ahli Psikologi Klinikal di Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Metassan turut menyampaikan taklimat dengan menekankan mengenai kepentingan mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan, dekati orang kesayangan dan rakan-rakan yang kelihatan melalui masa sukar dan tidak mengecap mereka yang mempunyai isu-isu kesihatan mental.

Taklimat diakhiri dengan Dayang Nor Syahmun menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh guru-guru dan kakitangan yang hadir.

Antara yang terlibat dalam menyampaikan taklimat kesihatan di Maktab SOAS, baru-baru ini.