146 kes baharu, dua lagi kluster dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Sejumlah 146 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,858 orang, dengan dua lagi kluster baharu dikesan.

Jumlah kluster aktif kini ialah 48 kluster dengan kluster baharu ialah Kluster 2632 yang mengandungi 29 kes manakala Kluster 2417 mengandungi 18 kes. Kedua-dua kluster baharu itu mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mendedahkan jumlah terbaharu jangkitan itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Terdapat 43 tambahan kes-kes baharu kepada tujuh kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya,” jelasnya.

Sementara itu, 58 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Menurut Yang Berhormat Dato, pengesanan kontak bagi semua kes baharu itu masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

“Dalam pada itu, 87 kes telah disahkan sembuh pada hari ini. Jumlah ini termasuk 13 kes positif dalam kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing,” kongsi beliau.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, kesemua mereka telah menjalani ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 1,053 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,791 kes.

Dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, enam kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana lima daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu lagi kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

Sementara itu, 24 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,059 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 235,286 ujian.

Bagi maklumat lanjut, layari www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]