148 kes baharu, dua lagi kluster

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Sebanyak 148 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di negara ini hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 3,831 orang.

Selain itu, terdapat dua kluster baharu telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 58 kluster.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, kluster baharu itu ialah Kluster 3788 yang mengandungi tujuh kes baharu dan Kluster 3598 yang mengan-dungi empat kes baharu.

“Kedua-dua kluster baharu ini juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya,” jelas Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei

Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin semasa sidang media di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa terdapat 37 tambahan kes baharu kepada 16 kluster aktif yang sedia ada.

Kes dalam kluster-kluster aktif berkenaan adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempu-nyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, 100 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
Menurut beliau, pengesanan kontak bagi semua kes baharu tersebut masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Dalam pada itu, 164 kes telah disahkan sembuh pada hari ini. Jumlah tersebut, menurut Yang Berhormat Dato, termasuk 106 kes positif dalam kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 2,313 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,497 kes.

“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, lapan kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana tujuh daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Manakala satu kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sementara itu, 28 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di unit rawatan intensif bagi pemantauan rapi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa dua kes telah selamat melahirkan anak damit melalui pembedahan pada 8 September lalu dan kesemua ibu dan anak damit mereka adalah dalam keadaan yang baik.

Manakala, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,491 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 264,580 ujian.