148 kes baharu, enam kluster dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Negara Brunei Darussalam telah mencatat sebanyak 148 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 7,716 orang.

Daripada kes-kes baharu itu, terdapat 54 tambahan kes baharu kepada 16 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kes positif sebelumnya.

Sementara itu, terdapat enam kluster baharu telah dikesan, kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini

Yang Berhormat Dato menjelaskan, lima daripada kluster baharu adalah kluster rumah persendirian iaitu Kluster 7290 yang mempunyai tujuh kes baharu; Kluster 7591 enam kes baharu; Kluster 7176 enam kes baharu; Kluster 4591 tiga kes baharu; dan Kluster 7387 enam kes baharu; manakala satu kluster iaitu Jodico Sdn Bhd adalah kluster tempat kerja.

Dalam pada itu, dua kluster telah tamat setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster itu selama 28 hari iaitu Kluster Lorong Tengah dan Kluster 477, menjadikan jumlah kluster yang aktif pada masa ini kepada 136 kluster. Manakala itu, terdapat 58 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Dalam pada itu, 133 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes sembuh 5,325 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,335 kes,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.

“Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, lapan kes adalah dalam kategori 5 dan dirawat di unit rawatan intensif yang semuanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

Sementara itu, 32 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 4,433 sampel telah diuji membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak tahun lalu kepada 369,372 ujian.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa berucap pada sidang media jangkitan COVID-19 yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani