Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    15 alat timbang gagal patuhi Akta

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Sebanyak 15 unit alat sukat dan timbang didapati gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 oleh Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) semasa pemeriksaan mengejut pada 18 Julai lalu.

    Pemeriksaan mengejut ke atas gerai-gerai jualan perayaan (bermusim) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 itu merupakan inisiatif berterusan bagi melindungi hak pengguna serta mempromosikan prinsip perniagaan yang telus.

    Semasa pemeriksaan, pemilik-pemilik alat sukat dan timbangan yang telah dikeluarkan notis peringatan dikehendaki hadir ke Pejabat Unit Sukatan dan Timbangan dalam tempoh tiga hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memastikan alat-alat yang digunakan bagi perdagangan adalah mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Unit SDT telah membuat pemeriksaan ke atas penggunaan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi tujuan perdagangan dan memastikan ia selaras dengan akta berkenaan.

    Sepertimana yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994, di bawah Seksyen 3(2), setiap orang yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana timbangan, sukatan alat-alat untuk menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan ini adalah bersalah.

    Hukuman denda sebanyak $1,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali akan dikenakan jika sabit kesalahan dan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang tersebut itu boleh dirampas dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan dagang yang dibuat dengan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang sedemikian adalah tidak sah. Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit Sukatan dan Timbangan melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan mengejut ke gerai perayaan baru-baru ini. – Gambar serahan SDT
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...